Rabu, Julai 22, 2009 | By: ~Ummi Mujahid~

Empayar halal DagangAsia


Pemasaran Dagang Halal menerusi portal Internet tidak hanya membina peluang kerjasama perniagaan produk-produk halal berasaskan makanan, tetapi turut diperluaskan untuk prospek kepenggunaan berteraskan cara hidup Islam.




SEBAGAI seorang pengusaha francais makanan, Mohamad Helmi Mohamad tercari-cari apakah platform terbaik untuknya memperaku dan menyebarkan maklumat produk halalnya.

Hampir setahun mengusahakan francais Noodle Station, akhirnya Mohamad Helmi menemui portal DagangAsia dan tidak teragak-agak menjadi ahlinya.

Katanya, DagangAsia bukan sekadar menyediakan portal kepada ahlinya tetapi ia akan sentiasa memaklumkan setiap aktiviti yang dijalankannya. Boleh dikatakan setiap minggu beliau menerima panggilan daripada syarikat tersebut.

Kebiasaannya, mereka akan bertanyakan perkembangan berhubung perniagaan yang dijalankan. Dari situ Mohamad Helmi mendapat tahu DagangAsia memang cukup aktif dan bersedia menolong para peniaga.

"Saya rasa dengan bayaran yang dikenakan DagangAsia terhadap ahlinya, ia cukup berbaloi kerana bukan murah untuk mengiklankan perniagaan terutama dalam media massa.

"Jadi, saya menyarankan para peniaga agar meluangkan masa menyertai portal ini tidak kira sama ada anda mempunyai perniagaan yang besar atau sederhana," ujarnya yang mengusahakan perniagaan Noodle Station di Setapak, Kuala Lumpur sejak setahun lalu.


LOGO halal yang dicetak di luar bungkusan lebih meyakinkan pengguna Muslim.


Dengan sasaran untuk menjadikan negara sebagai destinasi Hab Halal Dunia menjelang tahun 2010, bukanlah menghairankan industri produk dan perkhidmatan halal di Malaysia semakin berkembang.

DagangAsia Net Sdn. Bhd. (DagangAsia) yang menubuhkan portal produk halal itu kini semakin mendapat pujian ramai. Kunjungan individu yang melayari portal tersebut semakin hari semakin bertambah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Ismahafiz berkata, portal yang dilancarkan sejak empat tahun lalu itu bertujuan memberi nasihat dan khidmat kepada pengilang untuk memasarkan produk masing-masing menerusi Internet.

"Kami menerima kira-kira 67,000 pengunjung setiap hari dari seluruh dunia. Jumlah ini cukup membanggakan DagangAsia.

"Dengan melayari www.daganghalal.com, orang ramai boleh melihat produk yang telah menerima khidmat kami. Bukan itu sahaja, segala aktiviti ataupun pameran produk halal di seluruh dunia turut dilampirkan di portal Dagang Halal," katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain dapat meyakinkan pihak luar untuk membawa masuk produk ahli Dagang Halal yang diiktiraf halal ke negara mereka, ia secara tidak langsung membuka peluang yang sangat luas kepada pengusaha produk halal terutama syarikat-syarikat tempatan untuk mencari peluang dan kerjasama perniagaan antarabangsa.

Usaha untuk meningkatkan penerimaan negara luar terhadap produk tempatan bukan hanya diletakkan di bahu kerajaan semata-mata, malah syarikat tempatan perlu mencari inisiatif membantu para peniaga.


MOHAMAD HELMI menunjukkan sijil halal yang menjadi buruan pengusaha produk makanan dan minuman di negara ini.


Sepanjang penubuhan laman web ini, portal Dagang Halal telah mempunyai 1,800 ahli dari pelbagai negara. Maklumat mengenai syarikat ahli akan dipaparkan dan sentiasa dikemaskini dalam laman web tersebut.

Ia bertujuan memudahkan apa sahaja urusan pemasaran dan transaksi di seluruh dunia.

Lebih menarik lagi, tanggungjawab yang dipikul oleh Dagang Halal bukan hanya untuk pengeluar Islam tetapi turut melibatkan pengeluar produk bukan Islam.

Dagang Halal sebelum ini pernah mengikuti beberapa pameran produk halal di serata dunia antaranya di Dubai, Jerman, Sepanyol, Indonesia, Brunei dan Thailand.

Dalam pada itu, dengan terhasilnya portal yang dibangunkan dengan kos RM1 juta itu, syarikat tersebut turut mempunyai rangkaian pasaran di Thailand, Filipina, Indonesia, Pakistan, China, India dan negara-negara Asia Barat.

Namun, bukan mudah untuk menjadi ahli portal ini memandangkan pemohon perlu menunjukkan profil syarikat masing-masing terlebih dahulu.

Antara peranan portal Dagang Halal adalah memastikan segala produk yang dikeluarkan pengilang benar-benar menepati ciri-ciri untuk pasaran halal dunia.


PENIAGA yang mempunyai produk tidak melebihi 15 barangan dicadangkan memilih kategori Silver Dagang Halal.


Khairul berkata, yuran keahlian didaftar berdasarkan kategori yang dipilih oleh peniaga ialah Gold (RM8,000), Silver (RM6,000) dan Trade (RM1,250). Kesemuanya mempunyai kelebihan tersendiri.

"Keahlian diperbaharui setiap tahun. Bagi peniaga yang mempunyai produk tidak melebihi 15 barangan, kami mencadangkan mereka memilih kategori Silver manakala kategori Trade untuk mereka yang sudah ada laman web sendiri tetapi memerlukan pembaharuan.

"Kategori Gold pula adalah untuk usahawan yang memasarkan banyak produk dan memerlukan halaman yang lebih banyak dalam laman web mereka.

"Kami akan sentiasa memperbaharui laman web mereka dan bertanggungjawab membawa produk masing-masing di peringkat yang lebih tinggi," jelasnya yang menjangka menerima sebanyak 3,000 ahli baru pada tahun 2010.

Sementara itu, industri halal pada dasarnya tidak hanya tertumpu kepada produk makanan halal seperti mana yang difahami sebelum ini. Ini kerana ia turut merangkumi sektor perkhidmatan seperti logistik, pembungkusan, penjenamaan dan pasaran.


INDUSTRI halal pada dasarnya tidak hanya tertumpu kepada produk makanan halal seperti yang difahami sebelum ini.


Aspek tersebut akan dinilai sepenuhnya oleh DagangAsia bagi memastikan penjenamaan yang lebih menarik terutama dalam kalangan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS).

"Dalam memilih ahli kami bukan 'main tangkap muat' sahaja. Ahli kami mestilah menitikberatkan semua aspek penjenamaan barangan jualan mereka.

"Sebab itulah kami bersedia memberi perkhidmatan kepada mereka untuk memastikan produk masing-masing menepati ciri yang diperlukan," jelas Khairil lagi.

Menceritakan kelebihan portal halal itu, Khairul memberitahu, pengusaha IKS sukar berkembang kerana menghadapi masalah pemasaran ke pasaran luar.

Menerusi portal tersebut usaha DagangAsia dapat dilakukan dengan lebih sempurna lagi. Menurut Khairul, portal tersebut tidak mengehadkan sesiapa untuk melayarinya dan membuka produk halal usahawan Malaysia ke pasaran antarabangsa.


* Marilah kita sama-sama menggunakan produk halal kerana itulah yang dituntut syariat Islam. Sebolehnya apa yang kita makan mahupun guna seharian adalah sesuatu yang diberkatiNya.


0 komen teman:

Catat Ulasan

...silalah berikan sebarang komen or teguran...

...terima kasih...