Memaparkan catatan dengan label info umum. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label info umum. Papar semua catatan
Ahad, Ogos 16, 2009 | By: ~Ummi Mujahid~

Penjejak bukti

 

Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my





Elak bahan bukti tercemar. Kawal tempat kejadian jenayah perkara paling penting bagi memastikan bukti yang dibawa ke mahkamah tidak dipersoalkan

JIKA CSI Las Vegas berbangga dengan ketelitian Gil Grissom, CSI: Miami boleh mengharapkan kepakaran Horatio Caine dan Mac Taylor menjadi tonggak kekuatan CSI: NY, Malaysia tidak ketinggalan berada dalam kelas tersendiri dengan wujudnya CSI Bukit Aman atau dikenali secara rasmi sebagai Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2001.

Lebih menarik apabila kakitangan di Makmal Forensik itu tidak perlu menghafal skrip atau mencipta persekitaran jenayah untuk membolehkan unit Siasatan Tempat Kejadian Jenayah (CSI) bergegas mengumpul bukti kerana saban hari mereka dihidangkan dengan kejadian sebenar yang mencabar kemampuan dan kesungguhan anggota pasukan CSI.



Ia sama sekali berbeza dengan ketiga-tiga siri penyiasatan suka ramai itu yang perlu tampil setiap minggu dengan rekaan kes jenayah menarik serta memasukkan fiksyen bagi menyedapkan cerita demi mencatatkan kadar penonton tertinggi.

Juruanalisis Seksyen Tempat Kejadian Jenayah Makmal Forensik PDRM, Asisten Superintendan Zuraimi Zam Zam, berkata Makmal Forensik itu diwujudkan, pertamanya bagi membantu pegawai penyiasat (IO) menyiasat kejadian jenayah secara saintifik dan lebih bersistematik.

"Sebelum unit ini ditubuhkan, IO yang perlu mengutip bukti dan melakukan siasatan. Dengan ada CSI, mereka boleh memberi tumpuan kepada membuat siasatan ke atas saksi kes, seterusnya mengesan dan menangkap suspek.

Cecair kimia yang digunakan untuk kesan cap jari dan darah. Gambar kecil, kesan air mani dalam kes rogol dikesan dengan menggunakan Crime Light dan google warna jingga.


"Kedua, ia berfungsi untuk mengumpulkan bahan bukti yang ada kaitan dengan kes dan memastikan bukti itu elok serta tidak tercemar. Tidak guna mengutip banyak benda yang ada di tempat kejadian jenayah tetapi apabila diperiksa ia tidak membawa apa-apa nilai kepada siasatan.

"Oleh itu, anggota CSI tidak boleh terburu-buru terus mengumpulkan bukti. Sebaliknya, mereka perlu merenung dan membayangkan jenayah untuk mendapatkan gambaran bagaimana kemungkinan ia berlaku. Kemudian barulah mula mengumpul bukti yang dirasakan berkaitan. "Selain meneliti keadaan mayat secara luaran, pemeriksaan persekitaran tempat kejadian untuk mendapatkan bahan bukti yang berkualiti, seterusnya membuat rekonstruksi (gambaran semula) kejadian adalah tugasan utama kami," katanya yang sudah berkhidmat di Makmal Forensik itu sejak Mac 2002.
Dalam kes bunuh diri sebagai contoh, beliau berkata, unit CSI akan dipanggil ke tempat kejadian untuk membuat pemeriksaan dan jika dalam penelitian mereka mendapati kes itu atau persekitarannya mencurigakan, siasatan akan dibuat sama ada ia kes bunuh diri atau dibunuh.

Beliau berkata, petugas CSI mestilah seorang anggota polis tetapi keutamaan diberikan kepada mereka yang mempunyai kelulusan dalam bidang sains seperti kimia, biologi, fizik dan sains forensik.

"Ia bertujuan menyediakan pegawai yang mempunyai asas dalam bidang sains untuk menjalankan siasatan secara saintifik. PDRM menyediakan kursus untuk anggota dan pegawai CSI dari semasa ke semasa di dalam dan luar negara untuk meningkatkan kecekapan mereka.

"Ketika Makmal Forensik ini mula ditubuhkan, pegawai dihantar menjalani kursus di Australia selama tiga bulan dalam bidang forensik," katanya.

Ketika cara persembahannya berlainan, peralatan yang digunakan di luar dan di dalam skrin televisyen masih sama, malah cara mengumpul dan menjaga bahan bukti juga tidak berbeza.

Zuraimi berkata, bagi unit CSI, menjaga tempat kejadian jenayah adalah perkara paling penting bagi memastikan bukti yang ada tidak tercemar dan tidak dipersoalkan apabila kes dibawa ke mahkamah.
"Sebaik unit CSI sampai, polis biasa pun tidak akan dibenarkan berada dalam kawasan kejadian. Ia menjadi tempat kami. Penting untuk memastikan tempat kejadian tidak tercemar atau bahan bukti tidak berkaitan ada di situ.

"Sebagai contoh, orang lain yang tiada kena mengena dengan kes, menghisap rokok dan membuang puntung di tempat kejadian. Kami mungkin akan mengutipnya sebagai bahan bukti. Setelah analisis dibuat, akhirnya didapati ia tidak berkaitan dan akan menjejaskan kes," katanya.

Namun bagi unit CSI, kemungkinan untuk bukti atau tempat kejadian jenayah tercemar adalah tipis sekiranya pengawalan dilakukan dengan baik.
"Sebagai peringatan kepada orang ramai, saya meminta mereka supaya tidak menjadi `pencemar' di tempat kejadian, dengan berkumpul dan menyaksikan apa yang berlaku seperti melihat suatu pertunjukan," katanya.

Tegas Zuraimi, contoh pencemaran paling mudah ialah apabila jenayah berlaku dalam rumah dan individu yang paling awal sampai tidak begitu peka dengan kepentingan bukti, mungkin menjejaskan bukti sedia ada.

"Contohnya, penemuan lebih daripada satu kesan tapak kasut di tempat kejadian boleh menjejaskan penilaian yang dibuat oleh unit CSI, sedangkan pada hakikatnya kesan itu adalah hasil kecuaian individu yang sampai awal yang tidak peka dengan pengawalan tempat kejadian," katanya.

Bagaimanapun, katanya, jika mangsa masih hidup apabila polis sampai, tanggungjawab utama ialah menyelamatkan mangsa dengan meminimumkan pencemaran di tempat kejadian.


"Sebagai contoh, mangsa yang ditikam atau ditembak mengalami pendarahan teruk. Anggota polis yang paling awal tiba dikehendaki menyelamatkan mangsa walaupun pada masa sama terpaksa memijak darah atau mengalih mangsa atau dengan menghubungi ambulans. Malah dalam sesetengah kes, ambulans dan pasukan paramedik lebih dulu sampai daripada unit CSI.


"Bagaimanapun, pada masa ini, banyak kursus berkaitan fungsi Pegawai Pertama Tempat Kejadian dianjurkan oleh pihak Makmal Forensik PDRM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di seluruh negeri bagi menambahkan pengetahuan berkaitan pentingnya pengawalan di tempat kejadian.


Menyentuh masa yang diambil untuk memproses tempat kejadian, Zuraimi berkata, ia terpulang kepada bentuk jenayah itu sendiri. Kadangkala siasatan mengambil masa seawal 1 hingga 2 jam dan ada kalanya mengambil masa berhari-hari. Kadangkala tempat kejadian perlu dilawati semula sekiranya IO mendapat petunjuk baru dalam menjalankan sesuatu siasatan.


Dalam satu pasukan CSI, ada lima anggota iaitu ketua pasukan, pelukis rajah kasar, jurufoto, pencatat dan pengumpul barang kes. Sekiranya ada kes yang memerlukan kehadiran pakar, pakar patologi dan Bomb Tech (pakar letupan) akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Mengenai kadar penyelesaian kes jenayah, Zuraimi berkata, ia sukar diukur kerana kebanyakan kes masih dibicarakan. Namun baginya, kemampuan anggota CSI menunjukkan sesuatu bukti dengan positif adalah satu kejayaan.

"Sukar mencatatkan kadar kejayaan kes kerana ia masih dibicarakan tetapi apabila dapat mengaitkan suspek berada di tempat kejadian dengan bukti yang ditemui, bagi saya itu satu kejayaan. Berjaya atau tidak memenangi kes itu pula bergantung kepada faktor lain seperti keterangan saksi dan perkara lain.

"Kadang-kadang kesilapan teknik boleh menggugat kes dan disebabkan itu, anggota CSI amat berhati-hati supaya cara pengumpulan dan pemeriksaan bukti tidak boleh dipertikai," katanya.

Selain kes bunuh, unit CSI turut bertanggungjawab membawa penjenayah kejadian rompakan, samun, pecah rumah dan rogol ke muka pengadilan melalui bukti yang ditinggalkan di tempat kejadian.



P/S: CSI; memang rancangan tv kegemaran saya ni. Mesti siap sedia tonton, kalau terlepas masa siarannya, ahad kan ada ;)
Ahad, Julai 26, 2009 | By: ~Ummi Mujahid~

1 Terengganu, Food, Fruits, Fiesta


1 Terengganu, Foods, Fruits & Fiesta

 

"1 Ogos 09 INGAT 1T3F"

Dijemput semua anak-anak Terengganu di Lembah Klang hadir ke program 1T3F ( 1 Terengganu, Food, Fruits, Fiesta ) pada 1 Ogos 2009, Sabtu mulai jam 6.00 petang hingga 12.00 malam bertempat di Tempat Letak Kereta B, Stadium Nasional Bukit Jalil.

Anda anak Terengganu atau mempunyai suami, isteri, ayah orang Terengganu atau pernah berkhidmat / belajar di Terengganu?

Anda sekeluarga dijemput hadir secara PERCUMA!! . Pelbagai sajian dan buah-buahan dari Terengganu sambil berhibur dengan persembahan kebudayaan, tarian dan nyanyian.

MAKANG FREE ADE BELAKE weh.. buoh-buoh, makanang & selang-seli dengan nyanyi, persembahan budaya Terengganu. Parking kereta di medan C bayor RM2 je.. Naik LRT buleh, hok lain FREE BELAKE.


Dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu dan kerjasama PESAT



Rabu, Julai 22, 2009 | By: ~Ummi Mujahid~

10 tip tambah duit

 

MEMBUAT kuih-muih dapat menambah pendapatan.


Kenaikan harga barang keperluan harian dan juga keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan kini memaksa orang ramai berjimat cermat ketika berbelanja.

Ramai berusaha mencari kerja sampingan bagi menampung perbelanjaan yang makin meningkat.

Bagaimanapun, Sahara Noon, Pengurus Pemasaran Avon Malaysia ingin berkongsi sepuluh idea berikut:

1 - Menjadi wakil Avon: Dengan modal RM15 sahaja, Avon memberi peluang kepada anda untuk memulakan bisnes dan jadi bos sendiri. Anda boleh kerja dari rumah pada waktu yang fleksibel.

2 - Menjadikan hobi anda sebagai kerja sampingan: Ubah suai tanaman bunga atau sayuran anda kepada jenis tanaman yang boleh dijual.

3 - Memaksimum bakat menjahit atau membuat kuih: Mulakan bisnes and bertanya kepada saudara-mara dan kawan-kawan jika mereka ingin menempah baju atau membeli kuih dan kek anda.

4 - Bakat muzik: Kalau anda pandai bermain peralatan muzik, anda boleh mengajar dengan kadar RM30 sejam.

5 - Jika anda minat mengarang: Anda boleh jadi penulis sambilan atau penulis novel.

6 - Jualan garaj: Jual barang- barang lama yang tidak digunakan lagi.

7 - Tuisyen: Anda boleh memberi kelas tuisyen kepada pelajar sekolah berdekatan rumah anda.

8 - Sewa bilik di rumah: Jika anda ada bilik yang tidak digunakan, apa salahnya disewakan?

9 - Mendandan: Menawarkan perkhidmatan mendandan pengantin atau mereka gubahan hantaran perkahwinan.

10- Mengasuh: Menjaga anak-anak jiran atau sahabat-sahabat rapat.


** Memang cadangan yang menarik dan bagus. Saya sendiri pun berniaga kecil-kecilan; jual reload tanpa kad gores, bayar bil tanpa perlu keluar ke bank/pejabat pos, bayar hutang PTPTN. Semuanya dengan telefon bimbit saja. Anda ingin sertai saya??


Ibu pijak anak sampai mati dijel


Nadiah dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Pulau
Pinang semalam selepas dijatuhi hukuman penjara enam
tahun 10 bulan.


PULAU PINANG - Seorang wanita yang memijak anak lelakinya yang baru berusia setahun tiga bulan hingga mati dihukum penjara enam tahun 10 bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Hakim Datuk Abdul Rahim Uda menjatuhkan hukuman itu setelah mensabitkan pengakuan bersalah wanita itu yang hanya dikenali sebagai Nadiah dan memerintahkannya menjalani hukuman itu dari tarikh tangkapan iaitu 27 April 2005.

Nadiah, 28, dari Sumatera Selatan dituduh menyebabkan kematian anak lelakinya itu di sebuah rumah di Jalan Besar Bayan Lepas pada pukul 12 tengah hari 27 April 2005 mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda.

Sebaik hakim selesai membacakan hukuman terhadapnya, Nadiah yang berkahwin dengan lelaki tempatan, Abdul Rahman Jaafar dilihat menangis.

Ketika membacakan penghakimannya, Hakim Abdul Rahim berkata, mahkamah berada dalam keadaan yang sukar untuk membuat keputusan berhubung kes itu setelah mengetahui tekanan hidup yang dialami tertuduh amat berat.


** Astaghfirullah. Apalah yang nak jadi ni? Anak sendiri pun sanggup dipijak sampai mati?? Ibu jenis apakah ini?? Usahlah kita terlalu ikutkan amarah yang akhirnya diri sendiri juga yang rugi.


Empayar halal DagangAsia


Pemasaran Dagang Halal menerusi portal Internet tidak hanya membina peluang kerjasama perniagaan produk-produk halal berasaskan makanan, tetapi turut diperluaskan untuk prospek kepenggunaan berteraskan cara hidup Islam.




SEBAGAI seorang pengusaha francais makanan, Mohamad Helmi Mohamad tercari-cari apakah platform terbaik untuknya memperaku dan menyebarkan maklumat produk halalnya.

Hampir setahun mengusahakan francais Noodle Station, akhirnya Mohamad Helmi menemui portal DagangAsia dan tidak teragak-agak menjadi ahlinya.

Katanya, DagangAsia bukan sekadar menyediakan portal kepada ahlinya tetapi ia akan sentiasa memaklumkan setiap aktiviti yang dijalankannya. Boleh dikatakan setiap minggu beliau menerima panggilan daripada syarikat tersebut.

Kebiasaannya, mereka akan bertanyakan perkembangan berhubung perniagaan yang dijalankan. Dari situ Mohamad Helmi mendapat tahu DagangAsia memang cukup aktif dan bersedia menolong para peniaga.

"Saya rasa dengan bayaran yang dikenakan DagangAsia terhadap ahlinya, ia cukup berbaloi kerana bukan murah untuk mengiklankan perniagaan terutama dalam media massa.

"Jadi, saya menyarankan para peniaga agar meluangkan masa menyertai portal ini tidak kira sama ada anda mempunyai perniagaan yang besar atau sederhana," ujarnya yang mengusahakan perniagaan Noodle Station di Setapak, Kuala Lumpur sejak setahun lalu.


LOGO halal yang dicetak di luar bungkusan lebih meyakinkan pengguna Muslim.


Dengan sasaran untuk menjadikan negara sebagai destinasi Hab Halal Dunia menjelang tahun 2010, bukanlah menghairankan industri produk dan perkhidmatan halal di Malaysia semakin berkembang.

DagangAsia Net Sdn. Bhd. (DagangAsia) yang menubuhkan portal produk halal itu kini semakin mendapat pujian ramai. Kunjungan individu yang melayari portal tersebut semakin hari semakin bertambah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Ismahafiz berkata, portal yang dilancarkan sejak empat tahun lalu itu bertujuan memberi nasihat dan khidmat kepada pengilang untuk memasarkan produk masing-masing menerusi Internet.

"Kami menerima kira-kira 67,000 pengunjung setiap hari dari seluruh dunia. Jumlah ini cukup membanggakan DagangAsia.

"Dengan melayari www.daganghalal.com, orang ramai boleh melihat produk yang telah menerima khidmat kami. Bukan itu sahaja, segala aktiviti ataupun pameran produk halal di seluruh dunia turut dilampirkan di portal Dagang Halal," katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain dapat meyakinkan pihak luar untuk membawa masuk produk ahli Dagang Halal yang diiktiraf halal ke negara mereka, ia secara tidak langsung membuka peluang yang sangat luas kepada pengusaha produk halal terutama syarikat-syarikat tempatan untuk mencari peluang dan kerjasama perniagaan antarabangsa.

Usaha untuk meningkatkan penerimaan negara luar terhadap produk tempatan bukan hanya diletakkan di bahu kerajaan semata-mata, malah syarikat tempatan perlu mencari inisiatif membantu para peniaga.


MOHAMAD HELMI menunjukkan sijil halal yang menjadi buruan pengusaha produk makanan dan minuman di negara ini.


Sepanjang penubuhan laman web ini, portal Dagang Halal telah mempunyai 1,800 ahli dari pelbagai negara. Maklumat mengenai syarikat ahli akan dipaparkan dan sentiasa dikemaskini dalam laman web tersebut.

Ia bertujuan memudahkan apa sahaja urusan pemasaran dan transaksi di seluruh dunia.

Lebih menarik lagi, tanggungjawab yang dipikul oleh Dagang Halal bukan hanya untuk pengeluar Islam tetapi turut melibatkan pengeluar produk bukan Islam.

Dagang Halal sebelum ini pernah mengikuti beberapa pameran produk halal di serata dunia antaranya di Dubai, Jerman, Sepanyol, Indonesia, Brunei dan Thailand.

Dalam pada itu, dengan terhasilnya portal yang dibangunkan dengan kos RM1 juta itu, syarikat tersebut turut mempunyai rangkaian pasaran di Thailand, Filipina, Indonesia, Pakistan, China, India dan negara-negara Asia Barat.

Namun, bukan mudah untuk menjadi ahli portal ini memandangkan pemohon perlu menunjukkan profil syarikat masing-masing terlebih dahulu.

Antara peranan portal Dagang Halal adalah memastikan segala produk yang dikeluarkan pengilang benar-benar menepati ciri-ciri untuk pasaran halal dunia.


PENIAGA yang mempunyai produk tidak melebihi 15 barangan dicadangkan memilih kategori Silver Dagang Halal.


Khairul berkata, yuran keahlian didaftar berdasarkan kategori yang dipilih oleh peniaga ialah Gold (RM8,000), Silver (RM6,000) dan Trade (RM1,250). Kesemuanya mempunyai kelebihan tersendiri.

"Keahlian diperbaharui setiap tahun. Bagi peniaga yang mempunyai produk tidak melebihi 15 barangan, kami mencadangkan mereka memilih kategori Silver manakala kategori Trade untuk mereka yang sudah ada laman web sendiri tetapi memerlukan pembaharuan.

"Kategori Gold pula adalah untuk usahawan yang memasarkan banyak produk dan memerlukan halaman yang lebih banyak dalam laman web mereka.

"Kami akan sentiasa memperbaharui laman web mereka dan bertanggungjawab membawa produk masing-masing di peringkat yang lebih tinggi," jelasnya yang menjangka menerima sebanyak 3,000 ahli baru pada tahun 2010.

Sementara itu, industri halal pada dasarnya tidak hanya tertumpu kepada produk makanan halal seperti mana yang difahami sebelum ini. Ini kerana ia turut merangkumi sektor perkhidmatan seperti logistik, pembungkusan, penjenamaan dan pasaran.


INDUSTRI halal pada dasarnya tidak hanya tertumpu kepada produk makanan halal seperti yang difahami sebelum ini.


Aspek tersebut akan dinilai sepenuhnya oleh DagangAsia bagi memastikan penjenamaan yang lebih menarik terutama dalam kalangan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS).

"Dalam memilih ahli kami bukan 'main tangkap muat' sahaja. Ahli kami mestilah menitikberatkan semua aspek penjenamaan barangan jualan mereka.

"Sebab itulah kami bersedia memberi perkhidmatan kepada mereka untuk memastikan produk masing-masing menepati ciri yang diperlukan," jelas Khairil lagi.

Menceritakan kelebihan portal halal itu, Khairul memberitahu, pengusaha IKS sukar berkembang kerana menghadapi masalah pemasaran ke pasaran luar.

Menerusi portal tersebut usaha DagangAsia dapat dilakukan dengan lebih sempurna lagi. Menurut Khairul, portal tersebut tidak mengehadkan sesiapa untuk melayarinya dan membuka produk halal usahawan Malaysia ke pasaran antarabangsa.


* Marilah kita sama-sama menggunakan produk halal kerana itulah yang dituntut syariat Islam. Sebolehnya apa yang kita makan mahupun guna seharian adalah sesuatu yang diberkatiNya.