Jumaat, April 24, 2009 | By: ~Ummi Mujahid~

Makan seimbang, anak sihat

Oleh DIYANA ROSE KAMALLUDEEN

 

USIA satu hingga enam tahun merupakan tempoh tumbesaran kritikal bagi setiap kanak-kanak. Ketika ini mereka memerlukan nutrien mencukupi untuk pembangunan kemahiran fizikal dan kesejahteraan sosio-emosi.

 

Ia termasuklah keupayaan menguasai daya keseimbangan badan dan pergerakan teratur untuk melakukan aktiviti kompleks yang memerlukan koordinasi minda serta otot seperti menari dan bermain bola. Aspek perkembangan penting ini meliputi pembentukan dan kematangan saraf otak juga sistem imun (pertahanan) yang cekap untuk mempertahankan tubuh badan dari serangan virus, bakteria dan parasit.

 

Justeru, pemakanan sihat mampu memberi impak positif secara langsung terhadap kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak. Malah, konsep pemakanan dan tumbesaran sempurna sebenarnya perlu dimulakan dari rumah. Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), Dr. Tee E. Siong berkata, kaedah terbaik ialah menikmati waktu makan bersama anak. Ia boleh merapatkan lagi hubungan ibu bapa dengan anak juga memberi peluang untuk anda meluangkan masa bersama dan menumpukan perhatian kepadanya.

 

"Aspek pemakanan merupakan faktor paling penting dalam proses tumbesaran anak termasuk berapa banyak dan kerap mereka makan.

 

"Untuk memastikan anak anda mencapai potensi tumbesaran dengan sepenuhnya, penting bagi ibu bapa memberi makanan sesuai dalam jumlah sepatutnya.

 

" Ia juga bagi mengelak kekurangan atau berlebihan zat, menyebabkan anak bukan sahaja berisiko dilanda penyakit malah menjejaskan tumbesaran mental dan fizikal mereka," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bulan Pemakanan Sihat Malaysia (NMM) 2009.

Projek (NMM) merupakan usahasama antara pertubuhan profesional seperti Persatuan Pakar Pemakanan Malaysia (MDA) dan Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (MASO) dengan sokongan Kementerian Kesihatan.

 

Sebagai inisiatif berterusan mendidik masyarakat mengenai pemakanan, NMM diadakan pada bulan April setiap tahun sebagai kempen meningkatkan kesedaran dan amalan pemakanan sihat di kalangan rakyat dengan tema berbeza pada setiap tahun.

Tahun ini, kata E Siong, Kanak-Kanak Sihat, Negara Sejahtera (Healthy Children, Healthier Nation) dipilih sebagai tema sambutan NMM 2009 yang memberi fokus terhadap amalan pemakanan sihat di kalangan kanak-kanak.

 

Jelas beliau, adalah penting untuk ibu bapa memahami asas amalan pemakanan baik untuk anak mereka seperti pengambilan pelbagai jenis zat, perubahan keperluan zat apabila anak membesar, keseimbangan diet, kuantiti pemakanan sederhana dan sentiasa memantau pertumbuhan dan corak pemakanan anak. Pun begitu, tabiat pemakanan setiap kanak-kanak berbeza antara satu sama lain sehingga kadang kala memeningkan kepala apabila mereka juga kerap mengadu sakit perut, sakit kepala dan lemah badan.

 

Masalah timbul apabila ibu atau bapa secara tidak sedar melakukan kesilapan yang boleh menjejaskan mood dan selera makan anak-anak.

- Makan luar: Menyebabkan anak tidak berpeluang menikmati kelazatan masakan ibu.
- Snek: Pengambilan makanan ringan (snek) dua jam sebelum waktu makan mengganggu selera makan anak.
- Waktu: Waktu makan yang berubah-ubah mengakibatkan anak lapar dan keliru.
- Kritik: Komen negatif terhadap makanan di depan anak boleh mengekang seleranya kepada makanan tersebut.
- Paksa: Memaksa anak makan hanya akan membuatkan mereka hilang selera.
- Marah: Berleter, mengancam atau memarahi anak supaya menghabiskan makanan akan membuatkannya takut dan menjauhi waktu makan.
- Makan sendirian: Menyebabkan anak berasa waktu makan adalah waktu paling menyedihkan.
- Tiada kepelbagaian: Makanan yang sama setiap hari menyebabkan anak tidak kurang menikmati aneka jenis diet.
- Gangguan: Gangguan muzik, televisyen dan barang mainan yang dibawa ke meja makan menyebabkan anak hilang minat untuk makan.
- Makan tidak menentu: Menunjukkan teladan buruk seperti makan di depan televisyen mendorong anak melakukan perkara sama.

Baru-baru ini, NSM dan GlaxoSmithKline Consumer Healthcare Sdn. Bhd (GSK) turut melancarkan buku panduan berjudul Eat Right, Grow Right (Pemakanan Sempurna, Tumbesaran Sempurna) di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

 

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datin Asariah Mior Shaharuddin yang mewakili Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong.

 

"Tidak dinafikan apabila anak-anak mula bersekolah dan menceburi banyak aktiviti luar, diet mereka semakin di luar kawalan ibu bapa.

"Bukan sahaja khasiat malah waktu makan juga tidak menentu kerana sering makan tidak tentu masa dan dalam keadaan tergesa-gesa," kata Asariah ketika membacakan teks ucapan Ka Siong.

 

Tambah beliau, pelancaran buku panduan tersebut adalah selaras dengan usaha Kementerian Pelajaran menerusi program Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan (3K) iaitu kesinambungan daripada Rancangan Kesihatan Sekolah (RKS) yang dimulakan sejak 1967.

Buku panduan ringkas dan komprehensif itu diterbitkan dalam Bahasa Malaysia, Inggeris dan Mandarin meliputi topik berhubung tabiat pemakanan sihat, tumbesaran fizikal, penglihatan sihat, kecergasan fizikal dan pembangunan emosi.

Sebanyak 22,000 naskah buku tersebut akan diagihkan secara percuma kepada sekolah-sekolah rendah di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak mulai Mei depan sebagai panduan kepada ibu bapa, guru dan penjaga tentang pentingnya penyediaan hidangan sihat kepada kanak-kanak.

 

Buku setebal 25 muka surat itu juga antara lain membantu ibu bapa memantau fasa-fasa perkembangan anak-anak di samping tutorial, maklumat berguna seperti penyediaan makanan sihat serta proses tumbesaran mental, fizikal dan emosi anak berusia antara empat hingga 14 tahun.

Ia juga boleh dimuat turun daripada laman web www.nutriweb.org.my atau www.gsk.com.my.

0 komen teman:

Catat Ulasan

...silalah berikan sebarang komen or teguran...

...terima kasih...