Memaparkan catatan dengan label artikel agama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label artikel agama. Papar semua catatan
Jumaat, Mei 29, 2009 | By: ~Ummi Mujahid~

Kekerasan bunuh hubungan suami isteri

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my


Pasangan sepatutnya saling berkasih sayang, mempunyai sifat belas ihsan dan baik hati

TINDAKAN kekerasan terhadap wanita berlaku dalam masyarakat melangkaui batasan kumpulan etnik dan agama. Sesetengah diperlakukan sesuka hati, diherdik dan dipukul, malah dirogol tanpa simpati dan belas ihsan.

Rogol adalah satu istilah yang digunakan untuk menggambarkan hubungan seksual tanpa keizinan atau kemahuan. Mangsa mengalami kemusnahan hidup dan trauma yang sukar digambarkan.

Jika ia berlaku di antara pasangan suami isteri, ia sungguh mengaibkan! Memang jarang diperkatakan, tetapi sedar atau tidak, ia suatu isu sosial yang berlaku dalam masyarakat.

Kajian menunjukkan kekerasan di antara suami dan isteri ini selalunya bersifat kekejaman dalam senyap. Bahkan, secara umum ia memberikan kesan lebih teruk dan traumatik terhadap mangsa, walaupun kerap kali ia dilihat tidak serius.

Lazimnya kes rogol membabitkan orang asing hanya mengakibatkan kemusnahan terhadap diri dalam satu kejadian, tetapi dalam ikatan perkahwinan mengakibatkan kemusnahan bersiri, bahkan memakan waktu bertahun-tahun.

Apabila dirogol suami, anda sebenarnya tinggal dengan perogol! Cukup janggal bunyinya bukan tetapi kenapa seorang lelaki merogol isterinya?

Jika diperhatikan, kebanyakan wanita yang dilaporkan dirogol suaminya memberikan persetujuan untuk mengadakan hubungan seksual. Jadi, sejauh mana Islam menilai isu penderaan domestik ini?

Apabila diperhatikan kepada nas, baik daripada al-Quran dan hadis, tiada istilah kekerasan mutlak seharusnya digunakan terhadap isteri mahupun suami. Islam memberikan penekanan kepada konsep saling berkasih sayang antara suami isteri.

"Dan, di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dengannya, dan dijadikan di antara kamu perasan kasih sayang. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berfikir." (ar-Ruum: 21)

Bekas Presiden Pertubuhan Islam Amerika Utara, Dr Muzammil H Siddiqi, berkata hubungan antara pasangan suami isteri sepatutnya berasaskan kesejahteraan, kasih sayang dan belas ihsan.

Menurutnya, tiga ciri itu adalah konsep yang sangat penting dalam agama dan menyumbang ke arah pembentukan perkahwinan Islam yang ideal.

Suami dan isteri juga katanya, harus mengetahui yang mereka adalah sumber kesejahteraan dan keselesaan antara satu sama lain.

"Mereka sepatutnya melakukan setiap perkara secara fizikal, emosi dan rohani untuk membuatkan diri pasangan berasa gembira dan selesa. Mereka perlu menjaga diri setiap pasangan," katanya.

Suami dan isteri tidak sepatutnya menjaga diri pasangan dalam pelbagai aspek, dengan tidak mendatangkan kecederaan, sama ada pada anggota fizikal atau berbentuk kata-kata yang mengguris perasaan.

Bagi mempertingkatkan tahap kesejahteraan dalam hubungan suami isteri, mereka sepatutnya saling berkasih sayang, mempunyai sifat belas ihsan dan baik hati pada pasangan.

Kasih sayang dan belas ihsan dalam hubungan adalah ramuan yang paling penting dalam kehidupan rumah tangga dan keluarga yang baik.

Dalam Islam, suami dan isteri tidak dibenarkan menuntut sesuatu yang bertentangan dengan agama, termasuklah segala bentuk kekerasan dan perkara yang tidak betul dengan norma agama dan kemanusiaan.

Hubungan seksual adalah kehendak dan keinginan semula jadi. Dalam Islam, ia hanya dibenarkan antara pasangan yang dibenarkan dan oleh kerana itu, kehendak terbabit harus dipertimbangkan kedua-dua pihak.

Menurut ulama, syariat menggariskan dua prinsip dalam perkara ini. Pertama, suami tidak sepatutnya menghalang dirinya terhadap isteri dan isteri pun begitu juga. Mereka sepatutnya melakukan yang terbaik supaya kedua-duanya mendapat kepuasan.

Bahkan dalam perkara ini, ketika haid dan nifas, suami isteri boleh melakukan hubungan intim dengan cara sewajarnya, walaupun pada dasarnya dilarang mengadakan persetubuhan.

Prinsip kedua ialah dalam hubungan perkahwinan, pasangan itu sepatutnya baik hati, belas ihsan dan bertimbang rasa.

Banyak hadis yang menggambarkan Nabi s.a.w tidak suka bersikap kasar dan terburu-buru apabila mendatangi isteri, sebaliknya lelaki perlu melayan wanita dengan cara baik, lemah lembut dan dihiasi dengan gurau senda.

"Segala sesuatu selain zikrullah itu permainan dan sia-sia, kecuali terhadap empat hal, iaitu seorang suami yang bergurau terhadap isterinya, seorang yang melatih kudanya, seseorang yang berjalan menuju dua sasaran (dalam permainan panah, termasuk juga dalam lumba) dan seseorang yang berlatih berenang." (Hadis riwayat Nasai)

Memang suami mempunyai hak untuk melakukan hubungan seksual, tetapi hak itu tertakluk kepada beberapa faktor, bukan saja dari sudut fizikal, malah perlu mengambil kira perasaan isteri.

"Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai haid. Katakanlah: Darah haid itu suatu kotoran. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) ketika haid dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci..." (al-Baqarah:222]

Ulama Arab Saudi, Sheikh Ibn Uthaymin ada berkata: "Adalah tanggungjawab pada isteri untuk memenuhi kehendak suami jika beliau memanggilnya ke tempat tidur."

Bagaimanapun, menurutnya, jika isteri mengalami kesakitan dari sudut psikologi dan tidak boleh memberikan tindak balas secara aktif terhadap panggilan itu atau mengalami kesakitan fizikal, suami tidak dibenarkan memanggilnya.

Oleh itu, katanya, suami sepatutnya menahan diri atau melayani pasangan dalam cara yang tidak mencederakannya.

Semua ini menunjukkan tiada istilah rogol dalam perkahwinan Islam yang sebenarnya, sebagaimana perkahwinan yang dijelmakan oleh Baginda s.a.w, memberikan kesentosaan kepada wanita.

Hubungan seksual di antara suami dan isteri sepatutnya berasaskan rasa hormat dan kasih sayang yang sama rata.

Ahli Majlis Fiqah Amerika Utara, Sheikh Muhammad al-Hanooto, berkata: "Keintiman seharusnya menjadi subjek yang penuh sopan santun, bukannya sebagai bentuk keinginan yang abstrak (tidak menunjukkan benda atau butiran dalam bentuk lengkap).

Katanya, wanita sepatutnya memberikan tindak balas secara postif dan lelaki juga sepatutnya tidak sekali-kali memaksa isterinya, tetapi isteri tidak sepatutnya menunjukkan keangkuhan, rasa meluat atau menolak apabila suami mendatanginya.

Apa pun bagi suami, penafian isteri untuk mengadakan hubungan seksual sepatutnya menjadi tanda bagi suami yang menunjukkan isterinya tidak bersedia sama ada disebabkan emosi atau fizikal.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap isterinya dan saya adalah orang yang paling baik terhadap isteri." (Hadis riwayat Tabrani dan Tirmidzi)

Islam lindungi hak isteri

Oleh Idris Musa


TIADA lafaz paling keramat dari lidah seorang lelaki yang bergelar suami, kecuali talak, bahkan dilihat dari satu sudut ia adalah hak eksklusif kaum Adam terhadap kaum Hawa.

Ada benarnya, kerana dalam Islam lafaz talak atau cerai yang keluar dari bibir si isteri tidak diambil kira, walaupun dia melafazkannya berulang kali dengan bersungguh-sungguh, sekali gus menunjukkan kuasa talak hak suami.

Firman Allah bermaksud: "Wahai Nabi! Apabila kamu (engkau dan umatmu) hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya dan hitunglah masa idah itu (dengan betul) serta bertakwalah kepada Allah, Tuhan kamu..." (al-Quran, surah al-Talaq-65: 1)

Walaupun begitu, seorang suami harus berwaspada.

Sabda Nabi bermaksud: "Allah tidak menjadi sesuatu yang halal, yang lebih dibenci oleh-Nya dari talak."

Dan lagi: "Perbuatan halal yang paling dibenci oleh Allah ialah talak." (Riwayat Abu Dawud)

Seorang suami tidak wajar mempermainkan perkataan cerai kerana sekali ia terlepas dari mulut, mereka mungkin menyesal seumur hidup.

Rasulullah bersabda: "Tiga perkara menjadi serius walaupun dalam keadaan main-main atau serius iaitu nikah, cerai dan membebaskan hamba."

Tetapi, sejauh mana lafaz cerai menjadi hak eksklusif suami? Apakah hak untuk berpisah bagi si isteri terkunci rapat? Jika benar, bukankah ia menzalimi isteri dan tidakkah undang-undang Islam ini menganiayai wanita!

Pensyarah Kanan Institut Islam Toronto, Kanada, Sheikh Ahmad Kutty, berkata dalam Islam, lelaki dan wanita mempunyai hak.

Menurutnya, ini selari dengan firman Allah bermaksud: "Dan isteri-isteri itu ada hak yang sama seperti kewajibannya secara yang sepatutnya..." (al-Quran, surah al- Baqarah: 228)

"Hak ini termasuk hak untuk dilayan secara adil dan baik dalam semua keadaan, kedua-duanya dalam kes perkahwinan dan perpisahan," katanya, dalam satu ruangan soal jawab hukum di laman sesawang.

Sebagaimana lelaki mempunyai hak untuk membubarkan perkahwinan, wanita juga ada hak berbuat demikian, lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan konflik yang mengakibatkan kekecewaan dan kesengsaraan.

Katanya, Allah memerintahkan lelaki berbuat baik terhadap wanita sepanjang waktu dan sebarang perlakuan tidak adil, menjadikan isteri tahanan penjara dalam perkahwinan.

"...maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan baik, atau lepaskan mereka dengan baik..." (al-Quran, surah al-Baqarah: 231)

"Dengan penjelasan penting al-Quran ini, Islam mengajar kita apabila seorang suami melanggar prinsip terbabit, isteri mempunyai hak mengambil apa-apa tindakan undang-undang bagi membubarkan perkahwinan.

"Ia adalah hak yang diberikan Islam kepadanya dan keputusan mahkamah dalam kes ini benar-benar berdasarkan Islam, bagi dirinya hanya bertindak dalam usaha untuk menghindari penganiayaan dan kecederaan dirinya," katanya.

Beliau berkata, prinsip perundangan Islam menjelaskan, perlindungan mesti diambil bagi mengelak kecederaan dan kerosakan."

Justeru, katanya, jika seorang isteri itu tidak mendapat keselesaan daripada suaminya, dia berhak meminta cerai.

Ulama terkemuka, Sheikh Yusuf Al-Qaradawi dalam bukunya, Halal dan Haram dalam Islam, berkata wanita yang tidak tahan tinggal dengan suaminya ada hak untuk membebaskan dirinya daripada ikatan perkahwinan, dengan mengembalikan mas kahwin (mahar) kepada suaminya.

Pemberian dari isteri itu katanya, sama ada lebih atau kurang nilainya bergantung kepada persetujuan kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, katanya, seorang suami itu sepatutnya tidak meminta lebih daripada yang diberikannya kepada isteri.

"Dan tidak halal bagi kamu mengambil balik sesuatu yang telah kamu berikan kepada mereka, kecuali jika keduanya (suami isteri) takut tidak dapat menegakkan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan hukum Allah, maka tidaklah berdosa (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya. Itulah hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar hukum Allah, maka mereka itulah orang yang zalim." (al-Quran, surah al-Baqarah: 229)

Bagaimanapun, menurut al-Qaradhawi, adalah tidak dibenarkan bagi wanita untuk mendapat cerai dari suami kecuali dia diberikan layanan yang teruk atau dalam keadaan itu dia mempunyai sebab munasabah.

Katanya, Nabi bersabda, maksudnya: "Sekiranya mana-mana wanita meminta cerai dari suaminya tanpa sebab yang kukuh, terhalang haruman syurga darinya."(Hadis riwayat Abu Daud)

Dari penjelasan ini, nyata sekali nasib seorang isteri masih terbela di dalam Islam dan dia mempunyai hak untuk bercerai apabila dirasakan perkahwinan sudah tidak memberikan nikmat kepadanya.

Perceraian itu boleh dituntut di Mahkamah Syariah, sama ada dengan cara fasakh (pembubaran perkahwinan) atau tebus talak (cerai yang diucapkan oleh suami dengan pembayaran dari pihak isteri kepada suaminya).

Dalam undang-undang keluarga Islam, perceraian boleh juga berlaku melalui talak taklik, pertukaran agama dan li'an.

Sabtu, Mei 23, 2009 | By: ~Ummi Mujahid~

Mentaati Ibu Bapa

Oleh Idris Musa


BERBAKTI dan berbuat baik kepada ibu bapa satu perintah dan tanggungjawab yang wajib disempurnakan setiap individu bergelar anak tanpa mengira ibu bapanya itu beriman atau sebaliknya.

Dalam surah al-Isra', ayat 23 hingga 25, Allah menerangkan kepada kita supaya berbuat baik kepada mereka, maksudnya: "Dan Tuhanmu perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa.

"Jika seorang atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, janganlah engkau berkata kepada kedua-duanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

"Dan rendahkanlah dirimu kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka memelihara dan mendidikku ketika kecil.

"Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada di hatimu; jika kamu orang yang baik, maka sesungguhnya Ia adalah Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat."

Melalui nas terbabit jelas sekali kepada kita, berbakti kepada orang tua bukanlah perkara yang boleh dibuat main-main dan boleh dipandang ringan kerana ia adalah suatu perintah yang mesti dilakukan.

Bahkan berbakti dan berbuat baik kepada mereka tergolong dalam amalan yang sangat disukai Allah. Ini sebagaimana hadis diriwayatkan dalam Sahih Bukhari daripada Abdullah, katanya:

"Aku bertanya kepada Nabi s.a.w, amalan manakah paling disukai Allah Azza Wajalla? Baginda menjawab, solat pada waktunya. Abdullah berkata, kemudian apa? Baginda menjawab, kemudian bakti kepada kedua orang tua. Dia berkata lagi, kemudian apa? Baginda menjawab, jihad pada jalan Allah."

Hadis berkenaan menunjukkan besarnya kedudukan ibu bapa dalam Islam. Berbakti dan berbuat baik kepada ibu bapa amalan terbaik yang patut didahulukan daripada perkara lain, termasuk berjihad.

Menurut al-Qurthubi, termasuk berbakti dan berbuat baik kepada orang tua ialah tidak mencacinya dan menderhaka kepada mereka.

Jika ibu bapa atau seorang daripada mereka menyuruh si anak, wajib anak mentaatinya apabila perintah itu bukan membabitkan perkara yang mengundang dosa dan kemurkaan Allah.

Kita mempunyai ibu bapa dan kita sepatutnya bersyukur kepada mereka. Dengan adanya mereka, kita lahir ke dunia dan dapat mengenal segala isinya, malah dengan jasa mereka kita mendapat kenikmatan berlimpah ruah.

"Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada orang tuamu, hanya kepada-Ku kamu kembali." (Luqman:14)

Bagaimana bersyukur? Antaranya, kita memikul tanggungjawab terhadap mereka, dengan mengambil berat kebajikan mereka setiap waktu, memberikan bantuan serta menjaga dan mengambil tahu makan pakai mereka.

Sebagai anak, kita juga perlu menjaga hubungan dengan ibu bapa dan memastikan sentiasa akrab walaupun apabila sudah dewasa dan mempunyai rumah tangga sendiri.

Perbuatan derhaka dilarang sama sekali. Mereka yang menderhaka berdosa besar. Dalam satu hadis menerangkan derhaka kepada ibu bapa adalah dosa besar selepas syirik.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Nabi s.a.w pernah menceritakan mengenai dosa besar. Baginda bersabda yang bermaksud: "Menyekutukan Allah, menderhaka kedua-dua ibu bapa, membunuh dan berkata dengan kata-kata palsu." (Hadis riwayat Muslim)

Menurut hadis nabi juga, orang yang derhaka pada ibu tidak mencium bau syurga. Dalam satu kisah, sahabat Nabi s.a.w bernama Alqamah, seorang yang kuat beribadat, tetapi apabila di saat kematiannya dia tidak dapat mengucap syahadah kerana perbuatannya menyinggung hati ibunya, akibat terlalu cinta kepada isterinya.

Melihat keadaannya yang nazak, Nabi mengancam untuk membakarnya, tetapi apabila ibunya datang dan memaafkannya, azab yang menimpa Alqamah berakhir.

Peristiwa terbabit wajar dijadikan iktibar kepada semua di antara kita. Janganlah kerana isteri hak ibu terabai dan disebabkan suatu perkara remeh, tergamak meninggikan suara terhadap ibu sendiri.

Hayatilah sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Reda Tuhan (Allah) ada dalam reda kedua-dua ibu bapa dan kemurkaan-Nya ada dalam kemurkaan kedua-duanya." (Hadis riwayat al-Tabrani)