Jumaat, Julai 31, 2009 | By: ~Ummi Mujahid~

Kisah minggu ini..

Salam petang jumaat.

Syukurlah sempat juga saya online masa ni. Sebenarnya menunggu Mujahid lena memang makan masa yang lama. Nak harapkan dia tidur sendiri, jangan haraplah. Kekadang sengaja biarkan dia bermain seorang diri supaya cepat letih dan mengantuk.

Mujahid kalau bermain, bukannya dengan permainannya saja. Semua benda menjadi barang mainannya. Kalau ke dapur, periuk, pinggan mangkuk semua dia buat main. Tambah pula sekarang ni dia dah makin tinggi, boleh saja dia capai suiz dapur gas tu. Aduh! Memang bimbang sangat kalau dia ikut saya ke dapur. Lebih-lebih lagi bila saya tengah memasak. Sebab itulah tak suka biarkan dia ikut saya ke dapur.

Nak tengok Mujahid?? Ok, saya tunjukkan di bawah ni. :D



Di Tanjung Simpang Mengayau, Kudat semasa cuti sekolah yang lalu


Mujahid semasa menunggu walidnya selesai solat di Masjid Jamek, Kundasang


Rabu lepas, saya membawa pelajar saya yang menjadi ahli Kelab Komputer sekolah ke Kolej Komuniti Tawau sebagai aktiviti tahunan kelab. Alang-alang ke sana, pihak kolej menawarkan kursus pendek kepada ahli kelab. Bagus juga kan, adalah faedah sampingan buat pelajar saya tu. Sekurang-kurangnya mereka dapat didedahkan dengan teknologi komputer, asas pengkomputeran dan cara pemasangan komputer. Cuma sayangnya tak sempat untuk aktiviti amalinya. Tapi saya galakkan mereka untuk ikuti kursus pendek selanjutnya di kolej komuniti secara sambilan pada hujung minggu supaya mereka dapat manfaatkan sijil yang mereka dapat.

Balik dari lawatan sambil belajar ke kolej komuniti, sesampainya di sekolah saya perasan adanya pelajar yang memakai topeng mulut (mask) yang biasa para doktor yang gunakan di hospital. Rupanya ada pemantauan H1N1 dari hospital. Kemungkinan ada pelajar yang dijangkiti virus berbahaya ini kerana ada yang mengikuti perkhemahan kaunseling (tak silap saya) dan dengarnya penceramah program tersebut pernah ke Hong Kong.

Sebelum balik tengah hari tadi, seorang rakan guru beritahu adiknya belajar di sekolah yang ditutup kerana H1N1. Bimbang dia akan kesihatan adiknya. Saya tak sangkalah pula sekolah saya pun kena tutup. Sudahlah sekolah dah rancang untuk adakan ujian setara kedua bagi tahun ini. Ini maknanya kena tangguh ke minggu berikutnya.

Hmm, bimbangnya saya kalau-kalau virus ni menular hingga menjangkiti kami pula. Jadi, marilah sama-samalah kita ambil langkah berjaga-jaga mengelak jangkitan H1N1 ini. Aduh, sakit pinggang pula saya. Permisi dulu ya. Nak baring-baring sekejap.

0 komen teman:

Catat Ulasan

...silalah berikan sebarang komen or teguran...

...terima kasih...