Khamis, Mac 17, 2022 | By: Ummi Mujahid dan Mujahidah

Mengawas SPM untuk kesepian kalinya

Assalamu'alaikum wbt, Selamat pagi.

Menyempatkan diri menaip kisah diri dan keluarga sementara ada masa. Sebenarnya saya mengawas SPM 2021 untuk sekian kalinya. Kenapa cakap begitu? Ya, dulu dah pernah mengawas semasa masih di Tawau. Lebih daripada 4 kali jugalah meraih pengalaman mengawas peperiksaan awam ni, bukan hanya SPM malah PMR juga sebelum ditukar ke PT3 dulu.

Sejujurnya, saya tak minta tapi diarahkan mengawas. Ya, saya menurut perintah. Namun, pengalaman setiap orang berbeza kan. Dulu di Tawau, suasana keadaannya berbeza dengan situasi di sini. Sekolah yang saya mengawas ini letaknya sebelah pantai. Belum sempat nak beriadah di pantai sini memandangkan tak tinggal lama di sini. Saya ulang alik tau dari Kemaman ke sini tiap kali giliran mengawas.

Oh ya, ada satu berita baik. Syukurlah suami dah dapat ditukarkan ke Kemaman Ogos lalu. Tak sangka rezekinya mudah memandangkan ada staf daripada Putrajaya yang sepatutnya masuk Kemaman tapi minta masuk Kuala Terengganu atas alasan dekat dengan rumahnya. Suami pun dalam senda gurau sanggup ditukarkan ke Kemaman dan ketuanya luluskan permohonan suami selepas itu. Inilah dikatakan rezeki tak salah alamat.

Jadi, anak bongsu saya dah bersama ayahnya di rumah kami. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya adalah penghuni rumah tak terbiar kosong.

Pagi ni, pelajar menjawab kertas Prinsip Perakaunan 1 dan 2. Tenang saja suasana sekarang dengan hujan renyai di luar. 

Aduhai, sayunya rasa pabila selesai mengawas nanti. Dah tak nampak pantai lepas ni. Moga-moga ada rezeki lepak tepi pantai kelak. Tapi pantai kat rumah saya pun ada, mengada nak pantai lain hehe

Oklah dah mengarut pulak ni. Hingga jumpa lagi.
'eh ada ke yg baca ni?'
Isnin, Julai 05, 2021 | By: Ummi Mujahid dan Mujahidah

PKP, PKPD

 Assalamualaikum wbt

Allahu akbar. Lama betul tak bercerita kat sini kan? Banyak perkara dah berlaku sepanjang tempoh senyap sunyi saya.

Sebenarnya syukur alhamdulillah saya dah kembali ke negeri kelahiran saya, walaupun terpaksa bertugas di negeri jiran. Semua tahu kan sebelum ni saya mengajar di negeri bawah bayu sana sejak 2007 lagi. Hampir 14 tahun saya merantau akhirnya dapat juga kembali.

Namun cerita sedihnya saya terpaksa terpisah dengan keluarga saya uhuks 😭😭 sebabnya kami dah tak tinggal sebumbung lagi. Inilah namanya pengorbanan. Saya ditugaskan di Kuantan manakala suami pula di Kuala Terengganu sana. Anak-anak pun sama, seorang di asrama AKMAL Terengganu dan seorang lagi bersama mak saya.

Gara-gara pandemik Covid-19 dan PKP segala macam ni, anak sulong saya terpaksa balik daripada tinggal di asrama. Semua bakal hafiz dan hafizah pulang ke rumah masing-masing. Syukurlah suami saya ada uruskan si abang kat sana. Si adik pula sendirilah dia kat kampung sebab saya kena berada di stesyen atas arahan JPN. Kami kan penjawat awam yang mendengar arahan hehe 😆😄😄

Awal rancangannya nak baliklah hujung minggu bebaru ni tetapi perancangan Allah jua yang hebat. Terpaksa tinggal dulu di Kuantan sini kerana PKPD. Dah 2 minggu ni tak jumpa anak. Harap boleh dengar suara dan nampak muka masa video call saja. Semoga semuanya lekas berlalu tanpa kesan.

Oklah, lain kali pula kita sembang ya. Eh bercerita 😁 almaklumlah lama tak menaip panjang-panjang begini. Hingga jumpa lain waktu, jaga diri jaga iman. Ilalliqa'



Isnin, Ogos 03, 2020 | By: Ummi Mujahid dan Mujahidah

Video Raya Aidiladha 1441H


Salam Idul Adha 1441H. Sejak PKP hinggalah sekarang, kisah hidup saya sekeluarga tak banyak berubah sangat walau pun boring jugalah semasa berkurung dalam rumah sendiri. Namun ada hikmahnya kan.

Awal bulan Julai, saya ada sertai Akademi Youtuber anjuran Edidik Malaysia yang keahlian sekarang 32 ribu lebih tau. Sekadar nak asah balik minat pada ICT dan inilah hasilnya. Sebenarnya dah banyak kali buat tapi biasalah selalu saja tak puas hati.

Harap kalian sudi like, subscribe dan komen ya Saluran Ustazah Tni